fb fb fb fb fb

Polis Johor berjaya berkas dua lelaki menyamar sebagai polis

JOHOR BAHRU, 6 Jun- Dua lelaki termasuk seorang penjawat awam yang menyamar sebagai polis diberkas di kawasan perumahan Permas, Kukup Pontian 6.00 petang semalam.

Lelaki berusia 43 dan 48 tahun itu ditahan kurang 24 jam selepas disyaki terbabit dengan kejadian cuba menahan sebuah kenderaan di kilometer 41.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur keluar Sedenak di Kulai, awal pagi semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menerusi kenyataannya berkata, "bagaimanapun seorang lagi rakan suspek masih bebas dan usaha mengesannya dipergiat."

Penjawat awam itu direman dua hari manakala permohonan reman seorang rakan subahatnya ditolak.

Polis merampas baju pantulan cahaya, lampu beacon mudah alih, lampu suluh termasuk sebuah kenderaan.

Hasil semakan mendapati suspek yang merupakan penjawat awam, tiada rekod lampau manakala seorang lagi suspek mempunyai rekod bersabit dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

Semalam polis menerima video kejadian berdurasi 27 saat  yang memaparkan mangsa cuba ditahan sebuah kereta yang menyamar sebagai polis dalam perjalanan dari Singapura ke Genting Highlands.

(Dua lelaki menyamar sebagai polis dirakam dalam video berdurasi 27 saat)

Media Baharu