fb fb fb fb fb

Tindakan terhadap Sanusi, Anwar serah kepada peguam negara

KUALA LUMPUR, 6 Jun- Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk mengembalikan Pulau Pinang kepada Kedah adalah tindakan tidak bertanggungjawab apatah lagi beliau adalah seorang yang mempunyai kedudukan dan ia melanggar prinsip Perlembagaan Persekutuan. 

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau telah mendapat dokumen termasuk laporan polis yang mengesahkan bahawa Menteri Besar Kedah, secara tidak bertanggungjawab telah mengeluarkan beberapa kenyataan, iaitu pertama menuntut Perlembagaan Malaysia dipinda supaya mengembalikan Pulau Pinang kepada Kedah dan kedua menyatakan ada asas kukuh undang-undang bahawa Pulau Pinang milik kedah.

Susulan laporan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan berdasarkan beberapa peruntukan sedia ada untuk mengambil tindakan sesuai selain menghindari daripada penerusan kenyataan-kenyataan yang melanggar prinsip perlemabagaan dan undang-undang.

"Siasatan itu termasuk bawah kanun keseksaan dan juga bawah akta hasutan," kata perdana menteri di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

Guan Eng meminta perdana menteri menyatakan tindakan ke atas gesaan Menteri Besar Kedah, bahawa Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk padamkan Pulau Pinang agar boleh dikembalikan kepada Kedah, yang telah memecah-belahkan perpaduan rakyat khususnya menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk Pulau Pinang serta mengancam keharmonian dan keselamatan dalam negara.

Tambahnya, "sebahagian laporan telah dikemukakan kepada peguam negara dan kini menunggu tindakan susulan."

(Dewan Rakyat)

Beliau turut menyatakan bahawa kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dalam Malaysia yang berasingan daripada negeri Kedah jelas termaktub bawah Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan seperti yang dipersetujui Raja-Raja Melayu.

"Kedudukan Pulau Pinang daripada segi kerajaan dan kenyaan Peguam Negara adalah Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dalam Malaysia jelas termaktub bawah Fasal (2) perkara 1 Perlembagaan Persekutana yang memperuntukkan bahawa Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada Negeri-Negeri Tanah Melayu, iaitu, Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu; dan Negeri-Negeri Borneo, iaitu, Sabah dan Sarawak," kata Perdana Menteri.

Mengulas lanjut Anwar berkata Fasal (3) perkara 71 perlembagaan yang menjamin perlembagaan negeri termasuk Perlembagaan Negeri Pulau Pinang. Perjanjian bermula dengan kerajaan Inggeris dan Raja Melayu pada 5 Ogos 1957 yang diperkenan oleh semua Raja-Raja Melayu termasuk Sultan Kedah. Semua undang-undang dan perjanjian terdahulu itu terbatal dengan wujudnya perjanjian Persekutuan Tanah Melayu dan perjanjian yang diperkenan.

"Ini menyebabkan timbul permasalahan, kita sudah merdeka lebih enam dekad parti parti memerintah tidak pernah dibangkitkan melainkan seorang ketua tidak bertanggungjawab melanggar prinsip perlembagaan. Oleh demikian saya serah sepenuhnya kepada peguam negara," katanya.

Sekiranya isu berkenaan dipanjangkan ia dikhuatiri akan memberi implikasi terhadap keharmonian dan keselamatan dalam negara. Beliau juga menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melanggar prinsip Perlembagaan Persekutuan termasuk ahli parti bawah Kerajaan Perpaduan.

"Saya tidak menghalang siasatan terhadap sesiapa pun, jadi jangan guna alasan kononnya ahli UMNO suarakan, kita boleh lantang lagi. Semua parti politik juga tidak terlepas sekiranya melanggar prinsip perlembagaan," katanya.

 

Media Baharu