NEW YORK, 3 Julai- Calon Parti Demokrat bagi jawatan Datuk Bandar New York City, Zohran Mamdani tampil mempertahankan dirinya susulan serangan lisan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semasa himpunan kesatuan sekerja pada Rabu.
Trump, dalam satu ucapan pada Selasa (1 Julai), melabel Mamdani sebagai seorang "komunis" dan mengancam akan menangkapnya sekiranya beliau ingkar kepada arahan Jabatan Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE).
Mamdani, ketika berucap di hadapan ahli kesatuan Hotel Trades Council dan Hotel Association of New York City, menyelar kenyataan itu sambil menegaskan bahawa beliau tidak akan teralih fokus daripada perjuangannya.
"Donald Trump kata saya patut ditangkap. Dia kata saya patut dihantar pulang. Dia juga kata saya patut dilucutkan kerakyatan dan dia kata semua itu tentang saya, seseorang yang berpotensi menjadi datuk bandar imigran pertama dalam beberapa generasi di bandar ini. Saya bakal menjadi datuk bandar Muslim pertama serta datuk bandar pertama berketurunan Asia Selatan dalam sejarah bandar ini.
Bukan semata-mata kerana siapa saya, dari mana asal saya, bagaimana rupa atau cara saya bertutur, tetapi kerana dia mahu mengalihkan perhatian daripada apa yang saya perjuangkan. Saya berjuang untuk golongan pekerja. Saya berjuang untuk mereka yang telah diusir oleh harga hidup yang melambung di bandar ini. Dan saya berjuang untuk golongan yang dia sendiri dakwa dia perjuangkan," kata Mamdani.
Beliau turut menegaskan bahawa teras kempen beliau kekal pada isu utama kemampuan hidup di bandar paling mahal di AS.
“Seluruh kempen ini adalah untuk memastikan bandar ini, yang paling mahal di AS, akhirnya mampu didiami oleh warga pekerja New York yang menjadikannya istimewa," tambah Mamdani.
Lembaga Pilihan Raya New York City pada Selasa mengesahkan kemenangan bergaya Mamdani dalam pemilihan peringkat awal Parti Demokrat, sekali gus melayakkannya sebagai calon rasmi bagi pilihan raya datuk bandar yang akan berlangsung November ini.- REUTERS