MADRID, 3 Julai- Penduduk tempatan dan pelancong di Madrid terpaksa bergelut dengan cuaca panas melampau pada Rabu apabila suhu dijangka mencecah 39 darjah Celsius, menurut ramalan cuaca oleh agensi meteorologi Sepanyol (AEMET).
Tinjauan Reuters memaparkan orang ramai menyejukkan badan di pancuran air awam berhampiran Plaza Mayor, manakala sebahagian yang lain berteduh bagi mengurangkan bahang.
Gelombang haba yang melanda benua Eropah turut mengorbankan sekurang-kurangnya empat nyawa dengan dua di Sepanyol akibat kebakaran hutan di wilayah Catalonia dan dua lagi di Perancis.
Menteri Tenaga Perancis memaklumkan kedua-dua kematian itu berkait secara langsung dengan cuaca ekstrem manakala seramai 300 orang lagi telah dimasukkan ke hospital.
Suhu tinggi yang berterusan turut menyebabkan penutupan sementara sebuah reaktor nuklear di sebuah loji janakuasa di Switzerland.
Menurut agensi pemerhati iklim Kesatuan Eropah, Copernicus, Eropah kini merupakan benua yang paling pantas mengalami pemanasan global, dengan kadar peningkatan suhu dua kali ganda berbanding purata dunia.
Keadaan tersebut menjadikan gelombang haba lebih kerap berlaku pada awal tahun dan berlanjutan ke bulan-bulan akhir.- REUTERS