fb fb fb fb fb

Pengarah Hospital Indonesia di Gaza terbunuh dalam serangan udara Israel

Foto Reuters

GAZA CITY, 3 Julai- Penduduk Palestin di Gaza City meratapi pemergian Marwan Al-Sultan, Pengarah Hospital Indonesia di utara Gaza, yang terbunuh dalam serangan udara oleh tentera Israel bersama beberapa ahli keluarganya.

Anak perempuannya memaklumkan bahawa isteri, seorang lagi anak perempuan serta adik perempuan Al-Sultan turut terbunuh dalam serangan berkenaan.

Tentera Israel dalam kenyataan balas mengenai serangan tersebut menyatakan bahawa mereka menyasarkan seorang “tokoh pengganas utama” daripada Hamas di kawasan Gaza City, namun tidak mendedahkan identitinya.

Mereka turut memaklumkan sedang menyemak laporan berkaitan kematian orang awam dan menyatakan kekesalan sekiranya terdapat “individu yang tidak terlibat” yang tercedera atau terbunuh, sambil menegaskan bahawa langkah diambil untuk meminimumkan risiko kepada orang awam.

Pihak berkuasa kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 139 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 24 jam lalu akibat tembakan dan serangan udara Israel di kawasan utara dan selatan wilayah berkenaan.

Tentera Israel turut mengarahkan lebih banyak pemindahan penduduk lewat malam Selasa (1 Julai).

Serangan tentera Israel telah meragut lebih 57,000 nyawa rakyat Palestin, majoritinya orang awam, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Hampir keseluruhan 2.3 juta penduduk Gaza kini hilang tempat tinggal dan berdepan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM