fb fb fb fb fb

Zionis tingkatkan serangan, beribu-ribu rakyat Palestin diarah keluar dari Rafah

FOTO REUTERS

KAHERAH, 12 Mei- Beribu-ribu rakyat Palestin berpindah ke Deir al-Belah di kawasan tengah ketika Israel meningkatkan serangan udara dan darat ke atas bandar Rafah di selatan Gaza, ketika serangan tentera Israel ke atas Semenanjung Gaza memasuki hari ke-219.

Hampir 34,950 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh, dan hampir 78,600 lagi cedera setakat ini, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.

Tujuh bulan selepas konflik, sebahagian besar Gaza diranapkan manakala bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan turut lumpuh.

Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Keputusan sementara pada bulan Januari mengatakan adalah 'masuk akal' bahawa Tel Aviv melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, mengarahkannya menghentikan perbuatan tersebut dan mengambil langkah-langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.

Afrika Selatan hari Jumaat meminta ICJ mengarahkan Israel berundur dari Rafah sebagai sebahagian daripada langkah kecemasan tambahan berhubung perang.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE