fb fb fb fb fb

Zara tarik balik iklan kontroversi selepas terima seruan boikot

MADRID, 12 Disember – Zara menarik balik kempen iklan mereka yang memaparkan imej kontroversi di laman webnya selepas menerima seruan boikot dan kecaman daripada pro-Palestin yang disifatkan kurang sensitif terhadap situasi sedang berlaku di Gaza.

Syarikat Inditex, kumpulan fesyen terbesar di dunia, mengendalikan lebih daripada 7,200 kedai di 93 pasar di seluruh dunia termasuk Zara berkata, perubahan itu merupakan sebahagian daripada prosedur biasa untuk memberi nafas baharu dalam setiap kandungan mereka.

Katanya, koleksi "Atelier" itu diilhamkan pada bulan Julai dan gambar-gambar tersebut diambil pada bulan September.

Akaun Instagram Zara menerima puluhan ribu komen kebanyakannya dengan bendera Palestin, manakala "#BoycottZara" menjadi trending di platform media sosial X.

Dalam salah satu gambar model digambarkan membawa mannequin (patung pakaian) yang dibalut kain berwarna putih, ada juga patung pakaian yang tidak mempunyai anggota badan seperti tangan, lengan dan kaki.

Pengkritik mendakwa iklan Zara menyerupai gambar mayat seperti konflik yang sedang berlaku di Gaza pada ketika ini.

Zara berkata, pada majlis pelancaran koleksi itu pada 7 Disember lalu, ia diilhamkan daripada jahitan seorang lelaki sejak berabad-abad lalu.

Gambar-gambar itu kelihatan menunjukkan studio artis dengan tangga, bahan pembungkusan, peti kayu dan kren, dan pembantu yang memakai pakaian.

Reaksi itu menunjukkan sensitiviti jenama antarabangsa semakin meningkat ketika pertempuran di seluruh Gaza semakin memuncak dan gesaan untuk memboikot syarikat terbabit.

Gambar-gambar yang dipaparkan di laman utama dalam talian Zara bagaimanapun tidak lagi kelihatan di laman web atau aplikasinya sejak semalam.

Ini bukan kali pertama syarikat itu mengiklankan jenama pakaian mereka dengan penuh kontroversi.

Pada tahun lalu, salah sebuah labelnya Balenciaga memaparkan dua kanak-kanak perempuan dijadikan model sambil memegang anak patung beruang yang bertemakan seksual.

Dolce & Gabbana telah dikeluarkan dari laman web e-dagang di China pada tahun 2018 selepas kempen mereka menerima kecaman yang menampilkan seorang perempuan Cina memakan pizza dan spaghetti menggunakan chopstick yang disifatkan tidak peka budaya dan rasis.

Tahun lalu, beberapa aktivis Palestin menggesa untuk memboikot selepas pemilik francais kedai di Israel menganjurkan kempen untuk ahli politik sayap kanan Itamar Ben-Gvir di rumahnya. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN