TOKYO, 24 Julai - Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshimasa Hayashi, pada Rabu menafikan laporan mengenai khabar angin peletakan jawatan Perdana Menteri, Shigeru Ishiba susulan kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Dewan Tinggi, baru-baru ini.
"Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri kepada media selepas pertemuannya dengan bekas Perdana Menteri Aso (Aso Taro), Suga (Suga Yoshihide ) dan Kishida (Kishida Fumio), khabar angin tersebut sama sekali tidak benar,” katanya dalam sidang media di Tokyo.
Ishiba pada Rabu telah bertemu dengan Aso, Suga dan Kishida di ibu pejabat Parti Demokratik Liberal (LDP), namun menafikan
perbincangan peletakan jawatan dalam pertemuan tersebut.
Ishiba, yang juga Ketua LDP, kini berdepan tekanan hebat selepas gabungan pemerintah tewas dalam pilihan raya itu pada Ahad.
Pilihan raya itu mencatat sejarah sebagai kali pertama sejak 1955 apabila gabungan pemerintah kehilangan majoriti di kedua-dua dewan Parlimen Jepun, sekali gus merupakan satu tamparan besar dalam landskap politik negara itu.
Meskipun berdepan tekanan dalaman, Ishiba setakat ini belum menunjukkan sebarang hasrat untuk berundur. -VIORY