BANGKOK, 24 Julai – Tiga orang awam cedera dalam serangan roket didakwa dilakukan tentera Kemboja ketika pertempuran terbaharu dengan tentera Thailand di sempadan yang menjadi pertikaian kedua-dua negara.
Kedua-dua pihak telah lama bertelagah mengenai kawasan dikenali sebagai Segi Tiga Zamrud yang terletak berhampiran sempadan Thailand, Kemboja dan Laos, yang turut menempatkan beberapa kuil purba.
Pertempuran terbaharu berlaku pada pagi Khamis berhampiran dua kuil di sempadan wilayah Surin, Thailand dan Oddar Meanchey, Kemboja.
Kementerian Pertahanan Kemboja mendakwa tentera Thailand menceroboh kawasan berdaulat negara itu sehingga memaksa tenteranya melepaskan tembakan sebagai tindakan mempertahankan kedaulatan mengikut undang-undang antarabangsa.
Bagaimanapun, tentera Thailand menuduh Kemboja memulakan serangan terlebih dahulu dengan menembak ke arah pos tentera Thai, sebelum melepaskan dua roket BM-21 yang mengenai kawasan komuniti di Kap Choeng, Surin, mencederakan tiga orang awam.
Pertempuran dilaporkan bermula sekitar 7.35 pagi waktu tempatan selepas sebuah dron Kemboja dikesan di ruang udara berhampiran pos tentera Thailand yang mengawal Kuil Ta Muen.
Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai berkata, situasi itu memerlukan tindakan berhati-hati mengikut undang-undang antarabangsa. “Kami akan melakukan yang terbaik untuk mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.
Susulan insiden tersebut, Kedutaan Thailand di Phnom Penh menasihatkan rakyatnya meninggalkan Kemboja kecuali bagi urusan mendesak.
Kedua-dua negara turut mengambil langkah diplomatik tegas, termasuk pengusiran duta, penarikan balik diplomat dan sekatan di pintu sempadan.
Pertikaian ini berlaku di tengah ketegangan politik dalaman Thailand susulan penggantungan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra yang berdepan siasatan etika, selain Kemboja mengumumkan rancangan untuk mula mengerahkan rakyat awam sebagai tentera tahun depan.-AFP