fb fb fb fb fb

Yoon, Biden dijadual lawat Pusat Operasi Tentera Udara Korea Selatan

SEOUL, 22 Mei- Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol dan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dijadual melawat pusat operasi Tentera Udara hari ini, aturcara terakhir kunjungan tiga hari Biden ke Korea Selatan, lapor agensi berita Yonhap.

Kedua-dua mereka akan ke Pusat Operasi Udara dan Angkasa Korea Selatan itu di Pangkalan Udara Osan di Pyeongtaek, terletak 70 kilometer ke selatan Seoul, untuk mendengar taklimat dan memberi sokongan kepada tentera Amerika dan Korea Selatan yang ditempatkan di situ.

Lawatan itu dijangka memberi tumpuan terhadap kesediaan kedua-dua sekutu itu berdepan ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara selepas Yoon dan Biden bersetuju memperluaskan skop latihan ketenteraan bersama ketika sidang kemuncak semalam.

Biden menjadi presiden AS pertama untuk melawat pusat itu yang terletak di bawah paras mukabumi dan berfungsi sebagai kubu utama operasi udara dan angkasa lepas, manakala Yoon menjadi presiden Korea Selatan pertama yang berbuat demikian dalam tempoh 13 tahun.

(Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol dan rakan sejawatannya dariĀ AS Joe Biden)

Sebelum itu, Biden dijadualkan bertemu dengan Pengerusi Kumpulan Hyundai Motor Euisun Chung.

Semalam, syarikat itu mengumumkan rancangan untuk melabur AS$5.54 bilion dalam pembinaan kilang pembuatan kenderaan elektrik dan bateri kereta di Georgia, AS.

Pada petang ini, Biden akan berangkat ke Jepun.

Media Baharu