SANAA, 15 Jun- Kumpulan Houthi mendakwa telah melancarkan serangan ke atas Israel dengan kerjasama langsung dari Tehran, menjadikannya kali pertama kumpulan itu secara terbuka mengumumkan tindakan ketenteraan yang diselaraskan bersama Iran.
Jurucakap tenteranya, Yehya Sarea, dalam kenyataan disiarkan di televisyen berkata, kumpulan tersebut menyasarkan kawasan Jaffa di tengah Israel menggunakan beberapa peluru berpandu balistik dalam tempoh 24 jam lalu.
“Sebagai sokongan kepada rakyat Palestin dan Iran yang tertindas. Operasi ini diselaraskan bersama serangan tentera Iran ke atas musuh iaitu Israel,” jelasnya.
Terdahulu, tentera Israel memaklumkan siren kecemasan telah diaktifkan di beberapa kawasan susulan pelancaran peluru berpandu dari Iran dan Yaman.
Ketegangan antara kedua-dua musuh ketat itu terus memuncak sejak Israel melancarkan serangan terbesarnya ke atas Iran pada Jumaat lalu.
Pada hari sama serangan Israel dilancarkan, satu peluru berpandu dari arah Yaman dilaporkan jatuh di Hebron, Tebing Barat yang diduduki namun tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab.- REUTERS