fb fb fb fb fb

Tragedi Air India: Keluarga mangsa mula terima jenazah

FOTO AFP

AHMEDABAD, 15 Jun- Keluarga mangsa nahas pesawat Air India yang mengorbankan sekurang-kurangnya 279 nyawa mula mengadakan upacara pengebumian pada Ahad, menjadikan tragedi itu antara kemalangan udara paling buruk dalam beberapa dekad.

Di Ahmedabad, barat India, pihak berkuasa kesihatan mula menyerahkan mayat penumpang yang telah dikenal pasti melalui ujian DNA, dibawa dalam keranda putih kepada ahli keluarga yang sedang berkabung.

“Hati saya sangat berat, bagaimana kita hendak serahkan jenazah kepada keluarga mereka?” kata Tushar Leuva, seorang sukarelawan NGO yang terlibat dalam operasi pemulihan kepada AFP.

Daripada 242 orang penumpang dan kru dalam pesawat malang itu, hanya seorang terselamat apabila pesawat Boeing 787-8 Dreamliner terhempas ke kawasan perumahan pada Khamis lalu, menyebabkan sekurang-kurangnya 38 penduduk turut terkorban.

Seorang waris mangsa yang enggan namanya disiarkan memaklumkan, mereka dinasihatkan untuk tidak membuka keranda selepas menerima jenazah.

Saksi mendakwa melihat mayat yang rentung dan anggota badan yang berselerakan di lokasi kejadian. Pesawat tersebut dilaporkan meletup sebelum merempuh bangunan asrama yang didiami petugas perubatan.

Setakat pagi Ahad, 31 identiti telah disahkan.

“Ini proses yang sangat teliti dan mengambil masa, jadi perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati,” kata Dr Rajnish Patel dari Hospital Awam Ahmedabad.

Tambahnya lagi, kebanyakan mangsa yang cedera di kawasan kejadian telah dibenarkan pulang, kecuali satu atau dua orang yang masih dalam rawatan kritikal.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE