fb fb fb fb fb

Kemboja rujuk ICJ, selesai pertikaian sempadan dengan Thailand

FOTO FB Hun Manet

BANGKOK, 15 Jun- Kemboja telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi menyelesaikan pertikaian sempadan dengan Thailand, susulan ketegangan terbaru yang menyaksikan kedua-dua negara Asia Tenggara itu mengatur gerakan ketenteraan di sepanjang sempadan.

Menurut Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, keputusan itu diambil sebagai langkah penyelesaian damai berpandukan undang-undang antarabangsa. Dalam satu hantaran di Facebook, beliau berkongsi gambar Timbalan Perdana Menteri Prak Sokhonn menyerahkan sepucuk surat yang dikatakan mengandungi permohonan rasmi kepada ICJ di The Hague.

Ketegangan memuncak sejak 28 Mei lalu apabila seorang askar Kemboja terbunuh dalam pertempuran singkat di salah satu kawasan sempadan yang belum dimuktamadkan dari keseluruhan 820 kilometer jajaran yang dipertikaikan.

Kementerian Luar Thailand belum mengeluarkan kenyataan balas terhadap tindakan Kemboja, namun Bangkok sebelum ini menegaskan bahawa ia tidak mengiktiraf bidang kuasa ICJ dan lebih gemar menggunakan mekanisme rundingan dua hala.

Bagaimanapun, Hun Manet menegaskan empat lokasi pertikaian yang dikenal pasti, termasuk lokasi insiden berdarah itu, terlalu rumit dan berisiko tinggi untuk diselesaikan melalui perundingan dua hala semata-mata.

Kemboja sebelum ini dua kali merujuk isu sempadan kepada ICJ; pertama pada 1962 yang menyaksikan keputusan berpihak kepada Kemboja berkenaan pemilikan kuil Preah Vihear dan kali kedua pada 2013 bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kawasan sekitarnya.

Meskipun kedua-dua negara berikrar untuk meredakan ketegangan, kerajaan Thailand sebelum ini dilaporkan mengancam untuk menutup sempadan serta menghentikan bekalan elektrik ke Kemboja.

Sebagai tindak balas, Phnom Penh telah mengumumkan penghentian pembelian tenaga elektrik, jalur lebar internet dan barangan dari Thailand. Kerajaan Kemboja turut mengarahkan stesen TV tempatan menghentikan tayangan filem-filem Thailand.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE