fb fb fb fb fb

Keluarga mangsa nahas pesawat Air India tuntut penjelasan

Rafique Memon/ REUTERS

AHMEDABAD, 15 Jun- Keluarga mangsa nahas pesawat Air India yang terhempas pada Khamis lalu terus menanti penjelasan, sementara kerajaan India menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengenal pasti punca kejadian tragedi itu.

Setakat ini, jumlah korban meningkat kepada 279 orang, termasuk 38 mangsa yang berada di lokasi nahas ketika pesawat terhempas tidak lama selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel, Ahmedabad menuju ke London.

Suasana pilu bertukar menjadi kemarahan apabila waris mangsa menuntut penjelasan mengenai proses pengecaman identiti melalui ujian DNA, selain mempersoalkan faktor kecuaian yang mungkin menjadi punca nahas.

Rafique Remon merupakan individu yang kehilangan keluarga dalam nahas itu turut meluahkan kekecewaan terhadap insiden berkenaan.

"Anak-anak kami telah terkorban. Siapa yang cuai? Siapa yang bertanggungjawab? Saya juga kecewa kerana Air India tidak mengambil serius aduan terhadap keadaan pesawat mereka.

"Kenapa pesawat ini dipilih untuk penerbangan ke London? Adakah nyawa manusia tidak bernilai?" soal Rafique Memon, seorang bapa yang kehilangan ahli keluarga dalam kejadian itu.

Kerajaan India pada Jumaat memaklumkan satu jawatankuasa peringkat tinggi telah ditubuhkan untuk menyiasat punca nahas dan menambah baik prosedur operasi standard keselamatan penerbangan negara itu. Penemuan siasatan dijangka dibentangkan dalam tempoh tiga bulan.

Sementara itu, Biro Siasatan Kemalangan Udara India (AAIB) dibantu pakar dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah serta beberapa pihak antarabangsa lain bagi menjalankan siasatan terperinci.

Data daripada perakam penerbangan yang telah ditemui kini sedang dianalisis bersama rakaman video kejadian pesawat terhempas bagi membantu siasatan.

Pasukan penyiasat juga akan meneliti sebarang kemungkinan kerosakan teknikal, kecuaian operasi serta sejarah penyelenggaraan pesawat terbabit.

Menurut pakar penerbangan India, Mark D. Martin, pesawat terlibat dalam nahas itu telah beroperasi lebih 10 dekad dan mempunyai rekod penyelenggaraan yang baik.

"Pesawat ini telah beroperasi selama 14 tahun dengan rekod penyelenggaraan dan operasi yang baik. Kini ia mengalami nahas secara tiba-tiba. Inilah sebabnya siasatan ini menjadi urusan global.

"Kali ini, tiada ruang untuk sebarang maklumat disembunyikan kerana pihak berkepentingan antarabangsa turut terlibat," jelas pakar penerbangan India, Mark D. Martin.

Pesawat Air India membawa 169 warga India, 53 warga Britain, tujuh warga Portugal dan seorang warga Kanada, selain 12 anak kapal ketika nahas berlaku kira-kira 17 kilometer dari bandar Gandhinagar, ibu negeri Gujarat.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI