fb fb fb fb fb

Menteri Luar Iran tidak mahu konflik Israel merebak ke negara jiran

Abbas Araqchi/ REUTERS

TEHRAN, 15 Jun- Iran menegaskan bahawa negara itu tidak berhasrat untuk meluaskan konflik dengan Israel ke negara-negara jiran, kata Menteri Luar, Abbas Araqchi.

Menurut beliau, tindak balas Iran setakat ini adalah berdasarkan prinsip mempertahankan diri dan hanya berlaku susulan tindakan pencerobohan oleh pihak luar.

"Kami hanya bertindak balas terhadap pencerobohan asing. Jika pencerobohan ini dihentikan, maka reaksi Iran juga akan terhenti,” katanya dalam satu kenyataan media.

Araqchi turut mengecam serangan Israel ke atas medan gas South Pars yang dikongsi Iran bersama Qatar dan disifatkan sebagai satu "tindakan pencerobohan terang-terangan dan sangat berbahaya".

Dalam pada itu, beliau turut menuduh Israel cuba menggagalkan rundingan nuklear Iran-Amerika Syarikat yang sedang berlangsung.

Menurutnya, rundingan berkenaan berpotensi membawa kepada satu persetujuan, namun pusingan keenam yang dijadualkan berlangsung pada Ahad terpaksa dibatalkan susulan peningkatan ketegangan mutakhir ini.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI