fb fb fb fb fb

Rusia, Ukraine terus beri laporan di medan tempur

Foto hiasan/ REUTERS

MOSCOW, 15 Jun- Pertempuran sengit antara Rusia dan Ukraine terus berlanjutan pada Sabtu, dengan kedua-dua pihak memberi laporan berhubung perkembangan terkini di medan perang.

Kementerian Pertahanan Rusia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa dalam tempoh 24 jam lalu, pasukan tenteranya telah mara lebih jauh ke wilayah Sumy, Kharkiv, Donetsk dan Zaporizhzhia, sekali gus menguasai kedudukan lebih strategik.

Pertahanan udara Rusia juga berjaya memusnahkan dua bom berpandu buatan Amerika Syarikat milik tentera Ukraine serta menembak jatuh 110 dron milik negara itu.

Sementara itu, dalam satu taklimat, Angkatan Tentera Ukraine memaklumkan hampir 100 pertempuran berlaku di sepanjang garis hadapan setakat petang Sabtu, dengan pertempuran paling sengit dilaporkan berlaku di Lyman, Pokrovsk dan Novopavlivka.

Ukraine mendakwa berjaya menangkis beberapa serangan ofensif yang dilancarkan oleh pasukan Rusia.

Dalam perkembangan berkaitan, kedua-dua negara turut melaksanakan satu lagi pertukaran tahanan pada Sabtu susulan perjanjian yang dicapai semasa rundingan di Istanbul, Turkiye minggu lalu.

Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan sekumpulan tahanan perang Ukraine - tidak dinyatakan angka - telah diserahkan kepada pihak Kiev.

Selain itu, Rusia turut menghantar 1,200 mayat anggota tentera Ukraine pada Sabtu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,612 jenazah yang dipulangkan minggu ini termasuk 1,212 pada Rabu dan 1,200 pada Jumaat.

Menurut wakil kumpulan perunding Rusia kepada agensi berita TASS, sebanyak 6,000 mayat tentera Ukraine dijangka dikembalikan secara berperingkat susulan persetujuan dalam rundingan Istanbul pada 2 Jun lalu.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI