fb fb fb fb fb

Penduduk Tehran beri sokongan terhadap kepimpinan Iran

Depoh Minyak Sharan diserang rejim Zionis Israel/ REUTERS

TEHRAN, 15 Jun- Beberapa penduduk Tehran yang ditemui media menyuarakan sokongan terhadap tindakan balas yang diambil oleh kepimpinan Iran terhadap serangan Israel, dengan menyatakan bahawa tindakan tersebut penting bagi mempertahankan maruah dan keselamatan negara.

Penduduk tempatan, Ahmad berkata, kepimpinan Iran tidak mempunyai pilihan selain bertindak balas demi menjaga keamanan negara.

"Mereka (kepimpinan Iran) perlu bertindak kerana jika tidak, ia akan memberi lebih banyak tekanan kepada rakyat. Kami benar-benar menghargai usaha angkatan tentera kita," katanya.

Tambah beliau lagi, kelemahan pihak Israel berkemungkinan akan menarik campur tangan Amerika Syarikat, sekali gus memberi kesan buruk kepada rakyat awam.

"Pada pandangan saya, jika Israel mula kehilangan pengaruh, Amerika Syarikat pasti akan campur tangan – kerana mereka sekutu rapat. Dalam apa jua cara sekalipun, mereka pasti terlibat, dan akhirnya yang akan menanggung akibatnya ialah rakyat," katanya lagi.

Sementara itu seorang lagi penduduk Tehran yang enggan dikenali menyatakan bahawa Iran tidak berniat untuk mencetuskan konflik, sebaliknya hanya mempertahankan kedaulatan negara.

"Kami berhadapan dengan Israel. Kami tidak berniat mencederakan Israel atau rakyatnya, kami hanya mahu mereka berundur,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang juga enggan dikenali menegaskan bahawa pendirian Iran harus dihormati.

"Dulu mereka gelar kami pengganas, jadi apa? Kini Amerika dan Britain juga perlu takut kepada kami. Biar mereka rasa gentar, kami tidak akan tunduk lagi," tegasnya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI