NUUK, 15 Jun- Pesawat United Airlines dari New Jersey selamat tiba di Nuuk pada Sabtu, ia menandakan pelancaran perkhidmatan penerbangan penumpang tanpa henti pertama antara Amerika Syarikat dan Greenland.
Penerbangan itu merupakan sebahagian daripada perkhidmatan bermusim yang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty dengan ibu kota Greenland, Nuuk.
Pesawat berkenaan mendarat pada waktu petang dengan para penumpang dilihat turun dari pesawat, dan sebahagian mereka mengambil gambar kenangan di atas landasan.
Menteri Perniagaan Greenland, Naaja Nathanielsen, berharap perkhidmatan penerbangan itu dapat merancakkan sektor pelancongan ke wilayah berkenaan.
Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyuarakan hasrat untuk mengambil alih Greenland atas alasan keselamatan negara dan kepentingan geopolitik.
Pada Mac lalu Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance turut mengunjungi sebuah pangkalan tentera Amerika di Greenland.- REUTERS