WASHINGTON, 15 Jun- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengeluarkan amaran tegas kepada Iran bahawa negara itu akan berdepan dengan “kekuatan penuh” ketenteraan AS sekiranya bertindak menyerang Washington, susulan ketegangan yang memuncak antara Tehran dan Israel.
Trump menegaskan AS tidak terlibat dalam serangan udara Israel ke atas kemudahan nuklear dan perisikan Iran, yang dilancarkan awal pagi Jumaat lalu.
Menurut laporan, operasi ketenteraan Israel itu telah menyasarkan beberapa tapak strategik Iran termasuk loji nuklear dan markas ketenteraan, mengakibatkan puluhan terkorban termasuk beberapa komander tertinggi tentera serta saintis atom negara itu.
Trump, yang berkata beliau telah dimaklumkan mengenai operasi Israel sebelum ia bermula, mengulangi kenyataan pada Ahad menerusi platform Truth Social bahawa AS “tidak ada kaitan langsung dengan serangan ke atas Iran, malam ini.”
“Sekiranya kami diserang dalam apa jua bentuk oleh Iran, kekuatan penuh dan keperkasaan Angkatan Tentera AS akan digerakkan terhadap kamu pada tahap yang belum pernah disaksikan dunia sebelum ini,” katanya.
Tambah beliau, satu perjanjian antara Iran dan Israel boleh dicapai dengan mudah untuk menamatkan konflik berdarah itu.
Terdahulu, pada Jumaat, Presiden AS itu menggesa Tehran untuk memilih jalan rundingan atau berdepan serangan lebih hebat daripada Israel.-AFP