fb fb fb fb fb

Kanak-kanak antara 7 maut nahas helikopter di Himalaya

FOTO AFP

DEHRADUN, 15 Jun- Tujuh maut termasuk seorang kanak-kanak apabila sebuah helikopter yang membawa jemaah Hindu terhempas di kawasan pergunungan Himalaya.

Menurut pegawai Agensi Tindak Balas Bencana, Nandan Singh Rajwar, kejadian berlaku ketika helikopter itu dalam perjalanan dari Kuil Kedarnath di negeri Uttarakhand dan mengorbankan semua tujuh individu di dalamnya, termasuk juruterbang.

Ketua Menteri Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami menyifatkan nahas itu sebagai berita yang sangat menyedihkan dan memaklumkan pasukan penyelamat telah digerakkan ke lokasi kejadian.

Siasatan awal mendapati cuaca buruk dipercayai menjadi punca helikopter terhempas, kata pegawai pelancongan daerah, Rahul Chaubey.

Kuil Kedarnath yang terletak pada ketinggian 3,584 meter dari paras laut sering menjadi tumpuan penganut Hindu pada musim panas kerana ia hanya boleh diakses dalam tempoh tersebut.

Permintaan tinggi dalam kalangan penganut yang mahu mengelak pendakian mencabar telah mewujudkan industri pajakan helikopter ke kawasan kuil suci di banjaran Himalaya.

Insiden itu berlaku hanya sebulan selepas satu lagi helikopter yang menuju ke kuil sama turut terhempas dan mengorbankan enam orang.

Tragedi itu berlaku ketika negara masih berkabung susulan nahas pesawat penumpang yang meragut lebih 279 nyawa di Ahmedabad, Khamis lalu. – AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE