PARIS, 16 Jun- Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, dilucutkan daripada darjah tertinggi negara itu, Legion of Honour, susulan sabitan kes rasuah.
Sarkozy yang menerajui Perancis dari tahun 2007 hingga 2012, sebelum tewas dalam pilihan raya presiden, bergelut dengan pelbagai isu perundangan sejak meninggalkan jawatan.
Mahkamah rayuan sebelum ini mengekalkan sabitan terhadapnya kerana cuba mendapatkan layanan istimewa daripada seorang hakim secara tidak sah dan memerintahkan beliau memakai gelang elektronik selama setahun menggantikan hukuman penjara.
Walaupun Presiden Emmanuel Macron sebelum ini menyatakan tidak bersetuju dengan penarikan anugerah itu, langkah tersebut sejajar dengan peraturan Légion d'honneur dan telah pun dijangka.
Sarkozy menjadi bekas ketua negara kedua yang dilucutkan anugerah itu selepas Philippe Pétain, yang disabitkan atas tuduhan pengkhianatan kerana bekerjasama dengan Nazi pada Ogos 1945.
Gelang elektronik (electronic ankle bracelet) Sarkozy telah ditanggalkan baru-baru ini, namun beliau masih mencabar sabitan itu menerusi rayuan terakhir ke Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah.
Dalam masa yang sama, beliau sedang dibicarakan dalam kes berasingan berhubung dakwaan menerima dana pilihan raya secara haram, termasuk tuduhan menerima pembiayaan daripada bekas diktator Libya, Muammar Gaddafi.
Keputusan kes berprofil tinggi itu dijangka diumumkan pada September, di mana pihak pendakwaan memohon hukuman penjara tujuh tahun. Sarkozy menafikan semua pertuduhan.
Meskipun berdepan isu perundangan, Sarkozy kekal berpengaruh dalam kalangan politik sayap kanan Perancis, dan dikatakan masih mengadakan pertemuan dengan Macron secara berkala.-AFP