fb fb fb fb fb

Xi Jinping beri amaran, larang AS bekalkan senjata kepada Taiwan

Foto AFP

BEIJING, 16 November- Pemimpin China, Xi Jinping memberi amaran kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada sidang kemuncak supaya berhenti membekalkan persenjataan kepada Taiwan dan bersetuju untuk memulakan semula rundingan ketenteraan.

"Pihak AS harus berhenti memberi persenjataan Taiwan, dan menyokong penyatuan semula China secara aman," kata Xi kepada Biden, menurut laporan daripada kementerian luar China.

"China akan merealisasikan penyatuan semula dan ini tidak dapat dihalang," tegas pemimpin China itu mengenai masa depan Taiwan, dimana Beijing telah berikrar untuk mengambil semula negara pulau itu, suatu hari nanti.

Kedua-dua pemimpin itu bersetuju pada Rabu untuk menyambung semula rundingan atas dasar kesaksamaan dan menghormati komunikasi antara tentera-ke-tentera.

Rundingan antara AS dan China telah berlangsung sejak Ogos tahun lalu, apabila Beijing membatalkannya sebagai tindak balas kepada lawatan Speaker Dewan Rakyat AS, Nancy Pelosi ke Taiwan.

Menurut kementerian luar Beijing, Biden dan Xi juga bersetuju mengadakan penyelarasan dasar pertahanan dan rundingan maritim.

Sementara itu, sidang kemuncak kali ini menyaksikan kedua-dua pemimpin negara mencapai kata sepakat dalam rundingan bersama mengenai penggunaan kecerdasan buatan, serta kumpulan kerja kerjasama antinarkotik.

Selain itu, kedua-dua negara menzahirkan komitmen penting dalam meningkatkan penerbangan penumpang berjadual antara negara, mulai tahun depan.

Usaha memperdalam kerjasama mengenai perubahan iklim turut dinyatakan, menjelang sidang kemuncak COP28 di Dubai, November ini.

Xi memberitahu Biden bahawa China tidak berusaha untuk menggulingkan Amerika Syarikat dan menekankan bahawa AS tidak seharusnya merancang untuk menindas dan membendung China.

“China tidak akan mengikut laluan lama penjajahan dan rampasan, juga tidak akan mengikut laluan hegemoni yang salah apabila sesebuah negara menjadi kuat.

Pembangunan China tidak akan dihalang oleh kuasa luar,” kata Xi, menurut Xinhua.

Xi turut memberi amaran kepada Washington bahawa Beijing tidak berpuas hati dengan sekatan dan langkah lain terhadap syarikatnya.

"Tindakan AS terhadap China berhubung kawalan eksport, tapisan pelaburan dan sekatan unilateral serius menjejaskan kepentingan sah China."

"Menindas sains dan teknologi China, membendung pembangunan berkualiti tinggi China dan merampas hak rakyat China untuk pembangunan," kata Xi.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM