fb fb fb fb fb

Pertempuran kumpulan penjenayah, hospital di Haiti terpaksa dikosongkan

Foto Reuters

PORT-AU-PRINCE, 16 November- Pesakit dan kakitangan hospital utama di bandar setinggan terbesar, Port-au-Prince telah dipindahkan sepenuhnya pada Rabu selepas berlaku satu pertempuran antara kumpulan penjenayah di di hadapan fasiliti kesihatan itu.

Pengasas dan pengarah Pusat Hospital Fontaine, Jose Ulysse menafikan laporan bahawa terdapat ahli kumpulan penjenayah yang memasuki kemudahan itu dan menjadikan pesakit sebagai tebusan.

"Tiada tebusan. Perang kumpulan berlaku di sekitar hospital yang turut menjejaskan kawasan kejiranan.  Terdapat rumah jiran yang terbakar," kata Ulysse dalam temu bual telefon.

"Semua kakitangan kesihatan berlindung dan kami terpaksa memanggil polis untuk datang, membantu kami memindahkan semua orang yang tidak dapat bergerak sendiri, antaranya wanita yang menjalani pembedahan Caesarean semalam dan tidak boleh berjalan," tambahnya.

Kebanyakan pesakit melarikan diri dari tempat kejadian secara sendiri dan sekitar 70 orang dewasa dan 40 orang kanak-kanak termasuk bayi baru lahir telah dipindahkan oleh pihak berkuasa.

Hospital yang terletak di Cite Soleil, bandar setinggan terbesar di negara itu telah menjadi tempat pertempuran bersenjata sejak Isnin selepas kematian seorang ketua kumpulan yang dikehendaki.

Menurut wartawan AFP, pegawai dari unit elit Polis Negara Haiti campur tangan pada Rabu untuk membantu usaha pemindahan.

"Kami dapat menyelamatkan semua orang," kata Ulysse, yang menambah bahawa pesakit dipindahkan ke kawasan lebih selamat tanpa mengulas lanjut.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM