fb fb fb fb fb

WHO lancar hab teknologi vaksin mRNA di Cape Town

CAPE TOWN, 21 April- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melancarkan hab teknologi vaksin mRNA di Cape Town pada Khamis.

Inisiatif itu bagi membantu negara miskin yang bergelut untuk mendapatkan akses ubat yang mampu menyelamatkan nyawa.

Pada tahun 2021, WHO memilih firma bioteknologi Afrika Selatan, Afrigen Biologics dan pembuat vaksin tempatan, Biovac untuk projek perintis.

Ia memberi peluang kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana mendapatkan pengetahuan dan lesen untuk membuat vaksin COVID-19.

Presiden Afrika, Cyril Ramaphosa menyifatkannya sebagai suatu langkah bersejarah.

Afrigen Biologics telah menggunakan jujukan vaksin COVID-19 mRNA Moderna Inc yang boleh didapati secara terbuka untuk membuat versi suntikannya sendiri iaitu AfriVac 2121 dan sedang meningkatkan pengeluarannya.

"Data praklinikal sangat positif dan menunjukkan apa yang kami cipta di sini boleh dipercayai dan akan menjadi platform untuk pembuatan vaksin mRNA," kata Petro Terblanche, Ketua Pegawai Eksekutif Afrigen.

(Pegawai penyelidik sedang bertugas di dalam makmal / Foto REUTERS)

Vaksin yang akan diuji ke atas manusia pada awal 2024 itu, merupakan yang pertama dibuat berdasarkan vaksin yang digunakan secara meluas tanpa bantuan dan kelulusan pemaju.

Ia juga merupakan vaksin mRNA pertama yang direka, dibangunkan dan dihasilkan pada skala makmal di benua Afrika.

"Saya berada di Cape Town bersama rakan kongsi kami untuk menyokong model mampan bagi pemindahan teknologi mRNA untuk memberi negara berpendapatan rendah dan sederhana akses saksama kepada vaksin dan produk kesihatan menyelamatkan nyawa," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu kenyataan.

Lawatan Tedros dan pegawai kanan kesihatan selama lima hari itu merangkumi perbincangan mengenai kemampanan program, teknologi mRNA dan potensi penggunaannya untuk memerangi penyakit lain seperti HIV dan tuberkulosis yang menjejaskan negara miskin secara tidak seimbang.

Menurut WHO, 69.7 peratus daripada populasi global telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 pada Mac lalu, tetapi angka itu masih berada bawah 30 peratus di negara berpendapatan rendah.-REUTERS

Media Baharu