fb fb fb fb fb

WHO keluar amaran terhadap empat ubat batuk dan selesema dari India

(FOTO HIASAN)

GENEVA, 6 Oktober - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran mengenai empat sirap ubat batuk dan selesema dibuat oleh Maiden Pharmaceuticals di India yang dikaitkan dengan kematian 66 kanak-kanak di Gambia.

Menurut amaran produk perubatan yang dikeluarkan oleh WHO semalam, empat produk itu ialah Promethazine Oral Solution, Kofexmalin Baby Cough Syrup, Makoff Baby Cough Syrup dan Magrip N Cold Syrup.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) juga memberi amaran bahawa ubat-ubatan yang tercemar itu mungkin sudah diedarkan di luar negara Afrika Barat, dengan kemungkinan wujud pendedahan global.

(Tedros Adhanom Ghebreyesus / FOTO AFP)

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata empat sirap ubat selsema dan batuk yang dipersoalkan itu berpotensi dikaitkan dengan kecederaan buah pinggang akut.

"Kehilangan nyawa kanak-kanak ini adalah menyayat hati dan WHO akan menjalankan siasatan lanjut dengan syarikat itu dan pihak berkuasa kawal selia di India," katanya.

Sehingga kini, pengilang yang dinyatakan tidak memberikan jaminan kepada WHO mengenai keselamatan dan kualiti produk mereka.

Analisis sampel produk di makmal pula mengesahkan ia mengandungi jumlah bahan cemar dietilena glikol dan etilena glikol pada tahap yang tidak boleh diterima.

Sehubungan itu, Tedros meminta semua pihak berjaga-jaga dan menggesa semua negara bekerjasama mengesan dan melupuskan ubat-ubatan tercemar itu bagi mengelakkan ia terus memudaratkan pesakit. - AFP

Media Baharu