fb fb fb fb fb

Thailand: Tembakan di taska, angka maut meningkat 35 orang termasuk kanak-kanak

(Pusat jagaan di timur laut Thailand yang mengorbankan sekurang-kurangnya 35 orang termasuk kanak-kanak/FOTO AFP)

BANGKOK, 6 Oktober - Angka kematian meningkat kepada 35 orang termasuk kanak-kanak apabila seorang bekas pegawai polis bersenjatakan pistol dan pisau menyerbu sebuah taska di timur laut Thailand, menurut polis pada Khamis.

Kolonel Polis Jakkapat Vijitraithaya berkata, lelaki bersenjata dikenali sebagai Panya Khamrab telah membunuh 35 orang kebanyakannya mangsa korban terdiri daripada kanak-kanak berumur dua hingga tiga tahun.

Dalam kejadian itu, 12 orang lagi dilaporkan cedera, manakala tiga lagi parah.

Lelaki itu bersenjatakan senapang patah, pistol dan pisau, melepaskan tembakan ke arah pusat jagaan kanak-kanak di wilayah Nong Bua Lam Phu pada kira-kira 12:30 tengah hari sebelum melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki kenderaan.

(Suspek yang menembak pusat jagaan kanak-kanak dikenali sebagai Panya Khamrab/FOTO AFP)

Penyerang itu juga membunuh dirinya dan keluarganya sendiri.

Khamrab merupakan seorang leftenan kolonel polis yang telah dipecat daripada pasukan tahun lalu kerana menggunakan dadah.

Pembunuhan beramai-ramai itu berlaku kurang sebulan selepas seorang pegawai tentera yang sedang berkhidmat menembak mati dua rakan sekerja di pangkalan latihan tentera di ibu negara Bangkok. - AFP

Media Baharu