GENEVA, 10 Jun- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengekalkan status kecemasan kesihatan global bagi wabak virus mpox susulan peningkatan ketara kes di Afrika Barat dan penularan berterusan di luar benua Afrika.
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus mengumumkan keputusan tersebut selepas satu mesyuarat bersama pakar antarabangsa yang memantau situasi global wabak itu.
Walaupun terdapat kemajuan dalam beberapa negara, WHO memaklumkan berlaku lonjakan mendadak kes di Afrika Barat serta penularan senyap di luar rantau itu.
Sejak wabak itu bermula awal 2024 di Republik Demokratik Congo (DRC), lebih 37,000 kes telah disahkan di 25 negara dengan 125 kematian direkodkan. DRC kekal sebagai negara paling terjejas, menyumbang 60 peratus daripada jumlah kes dan 40 peratus daripada kematian akibat virus itu, yang menyebabkan ruam kulit dan simptom seperti selesema teruk.
Negara-negara lain yang turut terjejas teruk termasuk Uganda, Burundi dan Sierra Leone dengan yang terakhir menyaksikan peningkatan ketara kes sejak awal tahun ini.
Mesyuarat Jawatankuasa Kecemasan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) yang diadakan Khamis lalu memutuskan bahawa situasi masih layak diklasifikasikan sebagai kecemasan antarabangsa.
Keputusan itu dibuat berdasarkan peningkatan berterusan jumlah kes, khususnya di Afrika Barat, dan kemungkinan wujudnya penularan tanpa dikesan di negara-negara lain di luar Afrika.
WHO turut menegaskan bahawa masih banyak negara menghadapi kesukaran dalam memantau dan mengawal wabak ini, di samping kekurangan dana bagi rawatan, sekali gus memerlukan sokongan antarabangsa yang berterusan.-AFP