fb fb fb fb fb

Bekas kekasih Diddy dakwa dipaksa sertai aksi seks bersama lelaki lain

Sean “Diddy” Combs / AFP

NEW YORK, 10 Jun- Seorang bekas teman wanita kepada bintang hip-hop terkenal Sean “Diddy” Combs tampil memberi keterangan dalam perbicaraan kes pemerdagangan seks yang sedang berlangsung, dengan mendakwa dirinya pernah merayu untuk tidak lagi dipaksa menyertai aksi seksual bersama lelaki lain semasa hubungan mereka.

Wanita berkenaan, yang dikenali dengan nama samaran “Jane” demi melindungi identitinya, membaca mesej teks yang dihantarnya kepada Combs pada 16 Oktober 2023, sebagai sebahagian daripada bukti di Mahkamah Persekutuan Manhattan.

“Saya bukan pelakon lucah. Saya bukan haiwan,” menurut mesej berkenaan. “Semua ini tiada rasa cinta untuk saya. Awak tidak pernah puas dan sentiasa paksa saya buat lebih dan lebih lagi.”

Keterangan tersebut dilihat menyokong hujahan pihak pendakwa yang mendakwa Combs, 55, memaksa wanita-wanita terbabit mengambil bahagian dalam aksi seksual dikenali sebagai "Freak Offs" sering kali di bawah pengaruh dadah dan berlangsung berhari-hari di bilik hotel sambil beliau memerhati.

Pendakwa turut mendakwa Combs menggunakan kekerasan fizikal dan ugutan kewangan, termasuk mengancam untuk berhenti membayar sewa rumah mangsa sebagai cara mengawal dan memanipulasi mereka.

Combs yang juga pengasas syarikat rakaman Bad Boy Records mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan konspirasi jenayah dan pemerdagangan seks.

Barisan peguam bela mengakui Combs pernah bersikap kasar dalam beberapa hubungan peribadi, namun menegaskan bahawa semua aksi seksual tersebut berlaku secara suka sama suka.

Jane merupakan saksi ketiga dalam perbicaraan itu yang mendakwa menjadi mangsa penderaan seksual oleh Combs. Hubungan mereka berlangsung dari tahun 2021 hingga 2024.

Jane turut memberitahu juri, kebanyakan masa mereka bersama melibatkan aktiviti seks berkumpulan dengan pengiring lelaki, walaupun beliau hanya mahu meluangkan masa peribadi bersama Combs.

Perbicaraan kini memasuki minggu kelima dan Jane dijangka akan disoal balas oleh pihak pembela dalam masa terdekat.

Sekiranya didapati bersalah atas semua pertuduhan, Combs berdepan hukuman penjara seumur hidup.

Combs, yang turut dikenali dengan nama Puff Daddy dan P. Diddy, merupakan figura penting dalam dunia hip-hop yang melonjakkan kerjaya artis seperti Notorious B.I.G. dan Usher, selain pernah disenaraikan Forbes sebagai bilionair pada tahun 2022.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE