WASHINGTON, 10 Jun- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyifatkan tindakannya menghantar pasukan Pengawal Kebangsaan ke Los Angeles sebagai satu "keputusan yang tepat", meskipun mendapat tentangan daripada Gabenor California dan Datuk Bandar Los Angeles.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial miliknya, Truth Social, Trump berkata tanpa campur tangan itu, keadaan di Los Angeles boleh menjadi lebih buruk.
“Jika kita tidak bertindak, Los Angeles mungkin sudah musnah sepenuhnya,” katanya.
Langkah itu diambil susulan rusuhan yang tercetus selepas beberapa siri serbuan imigresen yang dijalankan pihak berkuasa persekutuan, mencetuskan ketegangan selama tiga hari antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan.
Keadaan di beberapa kawasan bandar utama masih tegang ketika mana sebahagian besar penduduk menyuarakan bantahan terhadap pendekatan keras pentadbiran Trump dalam isu migrasi.-AFP