ASHDOD, 10 Jun- Sebuah bot yang sarat dengan bantuan kemanusiaan serta membawa 12 aktivis ke Gaza telah dipintas oleh tentera laut Israel dan kemudiannya dibawa ke Pelabuhan Ashdod, yang terletak di utara wilayah Palestin yang masih dikenakan sekatan, menurut laporan jurufoto AFP..
Bot tersebut dikenali sebagai Madleen, dikatakan telah dipintas di perairan antarabangsa oleh pasukan tentera Israel pada malam Ahad dan kemudiannya dikawal ke pelabuhan tersebut.
Menurut jurufoto AFP, Madleen tiba di Ashdod sekitar pukul 8.45 malam waktu tempatan.
Antara individu yang menyertai misi berisiko tinggi itu termasuk aktivis alam sekitar terkenal dari Sweden, Greta Thunberg; Ahli Parlimen Eropah berketurunan Palestin dari Perancis, Rima Hassan; serta Sergio Toribio, aktivis hak asasi manusia dari Sepanyol.
Turut berada di atas bot tersebut ialah Thiago Ávila, seorang pejuang keadilan sosial dari Brazil yang giat dalam usaha bantuan kemanusiaan; dan Liam Cunningham, pelakon dari Ireland yang dikenali menerusi wataknya dalam siri Game of Thrones, yang turut menyuarakan solidariti terhadap rakyat Palestin.
Menurut penganjur, bot berkenaan telah dipintas ketika berada di perairan antarabangsa, namun tetap dikawal masuk ke Pelabuhan Ashdod oleh tentera Israel.
Misi tersebut adalah sebahagian daripada usaha gabungan antarabangsa Freedom Flotilla Coalition, yang konsisten cuba menembusi sekatan Israel bagi menghantar bantuan secara langsung ke Gaza.-AFP