KIEV, 10 Jun- Rusia dan Ukraine pada Isnin melaksanakan pertukaran tawanan perang pertama, hasil satu-satunya perjanjian konkrit yang dicapai dalam rundingan damai baru-baru ini di Istanbul, walaupun keseluruhan rundingan belum menunjukkan kemajuan ketara ke arah menamatkan perang yang telah berlarutan lebih tiga tahun.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, mengesahkan pertukaran itu telah bermula dan akan dilakukan secara berperingkat dalam beberapa hari akan datang.
Dalam hantaran di media sosial, beliau memuat naik gambar tentera Ukraine yang dibebaskan sambil bersorak dan berpelukan, dengan menyatakan bahawa antara yang dibawa pulang termasuk tentera yang cedera parah serta yang berusia bawah 25 tahun.
Kementerian Pertahanan Rusia turut mengesahkan pertukaran tersebut sebagai sebahagian daripada persetujuan yang dicapai di Istanbul pada 2 Jun lalu. Walau bagaimanapun, tiada angka rasmi diumumkan mengenai bilangan tawanan yang ditukar.
Pertukaran itu dijangka melibatkan lebih 1,000 tahanan, menjadikannya pertukaran terbesar sejak perang bermula. Namun pelaksanaannya hampir tergendala hujung minggu lalu apabila kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain cuba menggagalkan pertukaran tersebut.
Zelensky mendakwa Rusia tidak mematuhi syarat perjanjian, termasuk gagal membebaskan semua tahanan yang cedera atau muda. Sementara itu, Rusia pula menuduh Kiev enggan mengambil semula mayat tenteranya, dengan mendakwa terdapat 1,200 mayat tersimpan dalam trak sejuk beku di sempadan.
Rundingan di Istanbul yang dianjurkan hasil tekanan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, gagal mencapai kata sepakat mengenai gencatan senjata. Rusia meletakkan syarat berat termasuk tuntutan agar Ukraine berundur dari kawasan yang masih dikuasainya, mengiktiraf lima wilayah yang telah dianeksasi oleh Moscow serta menolak bantuan ketenteraan dari Barat.
Sebaliknya, Ukraine mendesak agar gencatan senjata penuh dicapai serta satu sidang kemuncak diadakan membabitkan Zelensky, Presiden Rusia Vladimir Putin dan Trump bagi merungkai kebuntuan rundingan.
Zelensky sebelum ini menyifatkan delegasi Rusia sebagai tidak relevan dan rundingan lanjut dianggap "sia-sia" jika tidak mampu menyetujui gencatan senjata. Beliau juga melabel rundingan itu sebagai tidak produktif kerana tiada hasil konkrit selain pertukaran tahanan.
Sementara itu, pertempuran terus memuncak di pelbagai kawasan. Tentera Rusia mendakwa telah memasuki wilayah Dnipropetrovsk di timur Ukraine buat kali pertama, satu perkembangan penting kerana Rusia sebelum ini tidak menyatakan tuntutan ke atas wilayah tersebut.
Kiev turut melaporkan serangan dron terbesar ke atas wilayahnya sejak perang bermula, melibatkan lebih 470 dron. Sebuah lapangan terbang di Dubno, wilayah Rivne, dilaporkan menjadi sasaran utama serangan balas oleh Moscow sebagai tindak balas terhadap serangan dron Ukraine pada 1 Jun lalu ke atas jet-jet tentera Rusia.
Ukraine turut mengaku bertanggungjawab atas satu lagi serangan ke atas sebuah kilang elektronik Rusia yang dipercayai menghasilkan komponen dron. Kilang tersebut dilaporkan terpaksa menghentikan operasi buat sementara waktu.-AFP