fb fb fb fb fb

Kematian blogger kritik polis dalam lokap cetus kemarahan rakyat

FOTO AFP

NAIROBI, 10 Jun- Ketua Polis Kenya mengesahkan seorang lelaki yang maut dalam tahanan hujung minggu lalu telah ditahan kerana mengkritik seorang pegawai kanan, mencetuskan kemarahan rakyat dan gesaan siasatan bebas oleh badan hak asasi.

Mangsa, Albert Ojwang, 31, ditemui tidak sedarkan diri dalam sel tahanan di Ibu Pejabat Polis Nairobi pada Sabtu lalu dan disahkan meninggal dunia di hospital tidak lama selepas itu. Polis mendakwa mangsa mencederakan diri sendiri dengan menghentak kepala ke dinding.

Namun, peguam keluarga, Julius Juma, menolak dakwaan tersebut dan memaklumkan hasil pemerhatian terhadap jenazah mendapati terdapat kesan lebam teruk di kepala, kecederaan di bahu dan tangan serta darah keluar dari hidung dan mulut.

“Seluruh bahagian depan kepala bengkak dan kesan kecederaan amat ketara,” katanya kepada pemberita di luar bilik mayat Nairobi semalam.

Ketua Polis Negara, Douglas Kanja berkata Ojwang telah ditahan bersama beberapa individu lain selepas timbalannya, Eliud Kipkoech Lagat, membuat aduan berhubung dakwaan mencemarkan nama baiknya melalui media sosial.

Media tempatan melaporkan penahanan itu berkait dengan hantaran bersifat kritikan terhadap pegawai polis di platform media sosial.

Menurut Persatuan Undang-Undang Kenya (LSK), Ojwang yang pada asalnya ditahan di barat Kenya telah dipindahkan sejauh lebih 250 kilometer ke Nairobi tanpa sebarang perintah mahkamah yang sah.

“Pemindahan ini menunjukkan niat jahat dan penyalahgunaan kuasa dalam proses penahanan,” kata LSK sambil menegaskan bahawa dakwaan kematian itu berlaku secara tidak disengajakan adalah tidak boleh diterima.

Sementara itu, Amnesty International menggesa siasatan segera, menyeluruh dan bebas dijalankan terhadap insiden ini.

Insiden itu berlaku ketika rakyat Kenya masih dalam keadaan tegang menjelang ulang tahun pertama protes besar-besaran pada Jun 2024 yang membantah kenaikan cukai dan rasuah, di mana lebih 60 nyawa terkorban akibat tindakan keras pihak berkuasa.

Sejak itu, lebih 80 individu dilaporkan telah ditahan secara tidak sah, termasuk kerana memuat naik kartun satira Presiden William Ruto.

Bekas Peguam Negara, Justin Muturi yang turut mendakwa anaknya pernah ditahan tanpa proses undang-undang sewaktu protes lalu, menyifatkan kematian Ojwang sebagai "bukan sekadar mencurigakan, tetapi keterlaluan."

“Ia menghina kecerdikan rakyat Kenya dan menimbulkan persoalan besar terhadap kebertanggungjawaban agensi penguatkuasaan undang-undang negara ini,” katanya di platform X.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE