fb fb fb fb fb

WHO kekal di Gaza City bantah arahan Israel

Tedros Adhanom Ghebreyesus/AFP

GENEVA, 11 September- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan pihaknya akan terus berada di Gaza City meskipun tentera Israel mengeluarkan arahan menghalau orang ramai keluar dari kawasan berkenaan.

"WHO dan rakan kekal di Gaza City," menurut kenyataan ringkas agensi itu menerusi platform X.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus menyifatkan arahan pemindahan hampir sejuta penduduk ke zon selatan yang digelar Israel sebagai "zon kemanusiaan" tidak munasabah kerana kawasan itu tidak mempunyai kapasiti menampung lebih ramai penghuni.

Beliau turut menekankan separuh daripada hospital yang masih berfungsi di Gaza terletak di Gaza City dan sistem kesihatan yang tenat tidak mampu kehilangan lebih banyak fasiliti.

Tedros menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak sambil menegaskan "malapetaka ini adalah buatan manusia dan tanggungjawabnya terletak pada kita semua."

Israel memperhebat serangan di Gaza sejak Oktober 2023 yang telah meragut lebih 64,000 nyawa penduduk Palestin, majoritinya orang awam, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengisytiharkan kebuluran di beberapa bahagian Gaza. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA