fb fb fb fb fb

WHO hantar lebih sejuta vaksin polio ke Gaza untuk lindungi kanak-kanak

Foto: REUTERS

GENEVA, 26 Julai- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menghantar lebih sejuta vaksin polio ke Gaza selepas virus itu dikesan dalam sampel sisa kumbahan.

Vaksin itu akan diberikan dalam tempoh beberapa minggu akan datang bagi mengelakkan kanak-kanak di Gaza dijangkiti virus berkenaan.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata walaupun tiada kes polio yang direkodkan setakat ini, namun tanpa tindakan segera, ia akan mencapai ribuan kanak-kanak yang dibiarkan tanpa perlindungan.

Beliau berkata kanak-kanak di bawah lima tahun paling berisiko mendapat virus itu terutamanya bayi berusia dua tahun ke bawah.

Kempen vaksinasi sebelum ini terganggu oleh konflik selama lebih sembilan bulan.

Poliomielitis, yang merebak terutamanya melalui laluan fecal-oral, adalah virus berjangkit yang boleh menyerang sistem saraf dan menyebabkan lumpuh.

Kes polio menurun sebanyak 99 peratus di seluruh dunia sejak 1988 selepas kempen vaksinasi dan usaha membasminya dilakukan sepenuhnya.

Tentera Israel berkata, ia akan mula menawarkan vaksin polio kepada tentera yang berkhidmat di Semenanjung Gaza selepas virus itu ditemui dalam sampel di kawasan itu.

Selain polio, Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan peningkatan yang meluas dalam kes Hepatitis A, apabila keadaan kebersihan semakin merosot di Gaza.

Ini berikutan sisa kumbahan melimpah ke jalan berhampiran beberapa kem. - REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI