WASHINGTON, 22 Julai – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendakwa beberapa kemudahannya di Gaza diserang pasukan tentera Israel, ketika rejim Zionis kini memperluas serangan ke bandar Deir el-Balah di tengah wilayah itu.
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, tentera Israel menceroboh kediaman kakitangan agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu, memaksa wanita dan kanak-kanak keluar berjalan kaki, manakala kakitangan lelaki digari, dilucutkan pakaian dan disoal siasat dengan mengacukan senjata.
Serangan turut melibatkan gudang utama WHO di Deir el-Balah, yang menyimpan bekalan perubatan penting untuk operasi kemanusiaan di Gaza.
"Gencatan senjata perlu dilakukan segera," menurut kenyataan menerusi platform X.
Gesaan itu senada dengan pendirian lebih 20 negara Barat yang semalam turut menggesa peperangan di Gaza dihentikan serta-merta, dengan menyatakan penderitaan rakyat awam di wilayah itu kini 'mencapai tahap paling teruk'.
Dalam kenyataan bersama, Britain, Perancis, Australia, Kanada dan 21 lagi negara serta Kesatuan Eropah menegaskan, konflik yang berlarutan lebih 21 bulan itu mesti dihentikan segera.
"Penderitaan orang awam di Gaza telah mencapai tahap yang amat mengerikan," menurut kenyataan itu yang turut mendesak gencatan senjata melalui perundingan, pembebasan semua tebusan dan akses bantuan kemanusiaan yang bebas dan menyeluruh.
Mesir yang merupakan antara pendamai utama, menyokong gesaan negara-negara Barat itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Deir el-Balah kini berdepan serangan hebat pada Isnin susulan kawasan itu belum terlibat dalam pertempuran.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) menganggarkan antara 50,000 hingga 80,000 penduduk berada di kawasan itu ketika arahan pemindahan dikeluarkan.
Seorang penduduk Deir el-Balah, Abdullah Abu Saleem, 48, berkata letupan kuat berlaku sepanjang malam seolah-olah berlaku gempa bumi.
"Bunyi letupan itu datang daripada tembakan artileri di bahagian tengah selatan dan tenggara Deir el-Balah. Kami amat bimbang dan takut jika tentera Israel merancang untuk melancarkan serangan darat," katanya. - AFP