fb fb fb fb fb

Venezuela siasat dakwaan penderaan migran di penjara di El Salvador

Tarek William Saab/ AFP

CARACAS, 22 Julai – Venezuela melancarkan siasatan terhadap dakwaan penyeksaan ke atas 252 migran yang dihantar Amerika Syarikat ke sebuah penjara terkenal di El Salvador.

Mereka mendakwa telah didera secara fizikal dan seksual serta diberi makanan basi.

Peguam Negara Venezuela, Tarek William Saab dalam sidang media di Caracas berkata, pihaknya menerima foto dan pengakuan daripada beberapa mangsa lelaki yang mendakwa mereka tidak yakin akan keluar dari penjara itu dalam keadaan selamat.

Antara bukti yang dikemukakan termasuk kesan lebam pada badan, luka akibat ditembak peluru getah dan seorang lelaki turut mengalami kecederaan pada bahagian bibir.

Andry Hernandez Romero, 32 tahun, merupakan antara mereka yang dihantar ke penjara berprofil tinggi CECOT, sebagai sebahagian daripada tindakan keras pentadbiran bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terhadap migran.

"Kami diseksa secara fizikal dan psikologi. Saya juga menjadi mangsa penderaan seksual," katanya dalam satu rakaman video yang ditayangkan oleh Saab.

Menurut Saab, pejabat pendakwa kini sedang menjalankan temu bual bersama kesemua migran yang telah dihantar pulang ke Venezuela.

Ramai dalam kalangan mereka menggambarkan pengalaman ditahan dalam sel yang tidak berperikemanusiaan – tanpa cahaya matahari atau sistem pengudaraan – serta diberi makanan basi dan air minuman yang tidak selamat.

Mereka juga tidak dibenarkan menghubungi peguam atau ahli keluarga sepanjang ditahan. Kali terakhir mereka dilihat umum adalah ketika kerajaan Presiden El Savador Nayib Bukele menayangkan gambar mereka tiba di penjara dalam keadaan bergari dan kepala dibotakkan. - AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI