fb fb fb fb fb

WHO bimbang wabak cacar monyet merebak dalam kalangan kanak-kanak

(Individu dijangkiti cacar monyet/Fail AFP)

GENEVA, 30 Jun- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bimbang wabak cacar monyet akan mula merebak dalam kalangan kanak-kanak.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata usaha bersungguh-sungguh perlu dilakukan bagi mendapatkan data terperinci mengenai penyakit tersebut.

Selain perkongsian mengenai keberkesanan vaksin virus berkenaan.

(Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus/Fail AFP)

Beliau berkata, maklumat itu penting dalam usaha membasmi virus cacar monyet daripada terus merebak dalam kalangan individu berisiko tinggi.

Ini termasuk kanak-kanak, golongan wanita rentan dan ibu mengandung.

"Saya bimbang tentang penularan yang berterusan ini terutama kepada kumpulan berisiko tinggi termasuk kanak-kanak dan wanita hamil," katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan berkata negara yang mempunyai stok vaksin cacar terutama Amerika Syarikat telah menunjukkan kesedian untuk berkongsi vaksin tersebut.

Bagaimanapun, sebahagian besar vaksin itu hanya dilesenkan untuk kegunaan virus cacar yang lebih teruk berbanding cacar monyet.

Jelas beliau, pada masa ini bekalan vaksin adalah terhad, ia hanya dibekalkan kepada pekerjaan kesihatan yang lebih berisiko.

Namun beberapa negara mula mempertimbangkan untuk menggunakan vaksin dalam kalangan individu berisiko tinggi dan mereka yang terdedah.-AFP

Media Baharu