WASHINGTON, 10 April- Pentadbiran Presiden Donald Trump dilaporkan merancang untuk membatalkan kontrak bagi penilaian iklim persekutuan yang digunakan untuk mengarahkan tindakan kerajaan terhadap perubahan iklim, menurut dua sumber yang biasa dengan perkara tersebut.
Kontrak dengan firma penasihat global ICF bagi kerja-kerja Penilaian Iklim Nasional, sebuah laporan komprehensif yang diterbitkan setiap lima tahun mengenai kesan perubahan iklim ke atas Amerika Syarikat, akan dipotong.
ICF menyediakan sebahagian besar tenaga kerja untuk Program Penyelidikan Perubahan Global AS (USGCRP), sebuah agensi yang ditubuhkan oleh Kongres pada 1990 bagi menyelaras penyelidikan dan pelaburan dalam perubahan iklim, serta yang telah mengawasi lima penilaian iklim nasional terakhir.
Penilaian iklim terkini, yang diterbitkan pada 2023, menyatakan bahawa perubahan iklim semakin memberi kesan kepada rakyat Amerika, dengan peningkatan harga insurans berkaitan cuaca dan beberapa barangan makanan, serta kenaikan kos perawatan perubatan apabila rakyat berdepan ancaman seperti suhu ekstrem.
Tanpa kontrak tersebut, masa depan penilaian yang dijadualkan pada 2028 kini menjadi tidak pasti, kata salah seorang sumber yang enggan namanya disiarkan kerana tidak dibenarkan mengulas isu ini.
Pihak ICF dan Pejabat Sains dan Teknologi White House belum bagaimanapun belum memberikan sebarang maklum balas terhadap perkara tersebut.
Pentadbiran Trump sebelum ini telah mensasarkan penyelidikan saintifik dalam beberapa bidang dengan pemotongan besar terhadap perjawatan kerajaan bagi mengurangkan apa yang dianggapnya sebagai perbelanjaan boros, termasuk di Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH), Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA), dan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA).
Pentadbiran Trump juga telah mengeluarkan arahan berhenti kerja bagi staf USGCRP dan NOAA yang menyumbang kepada Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC), sebuah badan PBB yang menghasilkan penilaian iklim secara berkala.-REUTERS