WASHINGTON, 10 April- Amerika Syarikat pada Rabu meluluskan penjualan peluru berpandu udara ke udara jenis AIM-120C dan AIM-120D kepada Australia dengan nilai keseluruhan mencecah AS$1.04 bilion.
Menurut kenyataan Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan AS (DSCA), penjualan sehingga 200 unit setiap model bersama kelengkapan berkaitan itu dijangka meningkatkan keupayaan Australia dalam menghadapi ancaman semasa dan masa depan, khususnya dari segi mempertahankan pesawat serta meningkatkan kebolehselamatan operasi udara negara itu.
Australia ketika ini menjalinkan kerjasama pertahanan erat bersama Amerika Syarikat dan Britain melalui pakatan tiga hala AUKUS termasuk perjanjian utama bagi pembelian kapal selam berkuasa nuklear buatan AS.
Canberra sebelum ini dilaporkan mahukan jaminan bahawa Presiden Donald Trump kekal komited terhadap pakatan tersebut yang dimeterai semasa pentadbiran bekas Presiden Joe Biden.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese pada Februari lalu berkata beliau telah menyuarakan sokongan dwipartisan terhadap AUKUS dalam perbualan telefon bersama Trump.
“Sebagai salah satu sekutu paling penting di rantau Pasifik Barat, adalah menjadi kepentingan nasional Amerika untuk membantu Australia membina serta mengekalkan keupayaan pertahanan kendiri yang kukuh dan bersiap siaga,” kata DSCA dalam kenyataan berasingan.
Kelulusan awal telah diberikan oleh Jabatan Negara AS dan pemakluman rasmi kepada Kongres dibuat pada Rabu. Bagaimanapun, urus niaga tersebut masih perlu mendapat kelulusan akhir badan perundangan itu, namun tidak dijangka akan menerima tentangan besar.-AFP