fb fb fb fb fb

White House larang wartawan WSJ sertai lawatan Trump ke Scotland

Karoline Leavitt/ AFP

WASHINGTON, 22 Julai – White House melarang akhbar The Wall Street Journal (WSJ) daripada menyertai rombongan media Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Scotland susulan laporan kontroversi mengenai surat hari lahir berunsur lucah yang didakwa ditulis Trump kepada kenalannya, Jeffrey Epstein.

Langkah itu diambil beberapa hari selepas Trump memfailkan saman sekurang-kurangnya AS$10 bilion terhadap WSJ dan pemiliknya, tokoh media Rupert Murdoch, berikutan laporan berkenaan yang didakwa bersifat fitnah dan dinafikan oleh presiden itu.

Tindakan tersebut sekali lagi mencetuskan kebimbangan mengenai kebebasan media bawah pentadbiran Trump, yang sebelum ini turut mengecualikan wartawan Associated Press daripada beberapa acara penting sejak Februari lalu.

Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt berkata, keputusan itu selaras dengan peruntukan mahkamah yang menyatakan tiada jaminan khas diberikan kepada mana-mana agensi berita untuk meliputi tugasan presiden di Pejabat Oval, di atas pesawat Air Force One, mahupun ruang kerja peribadi beliau.

"Disebabkan laporan palsu dan berunsur fitnah yang disiarkan WSJ, mereka tidak akan termasuk dalam 13 agensi berita yang dibenarkan menaiki Air Force One," katanya.

Trump dijadual berlepas ke Scotland pada hujung minggu ini bagi lawatan rasmi dan dijangka bertemu Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, serta mengunjungi dua resort golf miliknya di negara itu.

Pada Khamis lalu WSJ melaporkan bahawa Trump telah menulis surat hari lahir berbaur unsur lucah kepada Epstein pada tahun 2003, lengkap dengan ilustrasi wanita berbogel serta rujukan kepada satu "rahsia" yang dikongsi bersama.

Epstein, merupakan kenalan lama Trump dan beberapa tokoh ternama lain, ditemukan mati tergantung dalam sel penjara di New York pada 2019 ketika menunggu perbicaraan atas tuduhan eksploitasi seksual ke atas puluhan gadis bawah umur.

Kematian Epstein, yang diisytihar sebagai bunuh diri, mencetuskan pelbagai teori konspirasi terutamanya dalam kalangan penyokong tegar Trump.

Awal bulan ini, Jabatan Kehakiman AS yang kini diterajui Peguam Negara lantikan Trump, Pam Bondi, menyatakan tiada bukti bahawa Epstein menyimpan "senarai klien" atau terlibat dalam aktiviti pemerasan terhadap individu berprofil tinggi sebelum kematiannya.

Dalam satu kenyataan susulan tindakan White House, Presiden Persatuan Wartawan WHite House (WHCA), Weijia Jiang menggesa agar WSJ diberikan ruang dalam kumpulan media rasmi.

"Tindakan kerajaan menyekat media kerana kandungan laporan yang tidak disukai sangat membimbangkan dan bertentangan dengan Pindaan Pertama Perlembagaan. Ini seharusnya menjadi perhatian kepada semua pihak yang menghargai kebebasan bersuara dan media bebas," katanya.

Sejak kembali memegang jawatan pada Januari lalu, Trump telah mengambil langkah memperketat kawalan terhadap liputan media, termasuk menarik balik kuasa WHCA yang hampir satu abad dalam menentukan akses media ke acara tertentu di White House. - AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI