WASHINGTON, 22 Julai – Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah mendedahkan lebih 240,000 halaman dokumen berkaitan pembunuhan tokoh hak asasi manusia, Martin Luther King Jr., termasuk fail risikan kontroversi oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
Dokumen berkenaan, yang merangkumi pemantauan agresif FBI terhadap King sepanjang era 1950-an dan 60-an, dimuat naik ke laman rasmi Arkib Negara. Pihak arkib memaklumkan lebih banyak dokumen bakal didedahkan kemudian.
King, penerima Hadiah Nobel Keamanan, ditembak mati di Memphis, Tennessee, pada 4 April 1968 ketika beliau giat memperluas perjuangannya dari isu hak sivil ke arah keadilan ekonomi dan penentangan terhadap perang. Pembunuhannya mengejutkan negara dalam tahun yang turut menyaksikan rusuhan kaum, bantahan Perang Vietnam dan pembunuhan calon Presiden, Robert F. Kennedy.
Awal tahun ini, pentadbiran Presiden Donald Trump turut mendedahkan ribuan fail berkaitan pembunuhan Robert Kennedy dan bekas Presiden John F. Kennedy, sebagai sebahagian daripada komitmen untuk meningkatkan ketelusan sejarah.
FBI, ketika era Perang Dingin, memantau dan merakam komunikasi King atas dakwaan palsu bahawa beliau mempunyai kaitan dengan komunisme. Agensi itu kemudiannya mengakui tindakan tersebut sebagai penyalahgunaan kuasa dan bukti 'langkah keterlaluan' dalam sejarahnya.
Keluarga King dalam kenyataan bersama menyuarakan kebimbangan terhadap potensi salah guna dokumen berkenaan dan merayu agar ia diteliti dengan "empati, berhati-hati dan hormat terhadap kesedihan yang masih mereka alami."
"Semasa hayat ayah kami, beliau diburu tanpa henti oleh kempen pengintipan dan penyelewengan maklumat yang mendalam dan menggusarkan, diketuai oleh J. Edgar Hoover melalui FBI," kata dua anak King, Martin Luther King III, 67, dan Bernice King, 62.
James Earl Ray, seorang penyokong pemisahan kaum, mengaku menembak King namun kemudian menarik balik pengakuan tersebut. Beliau meninggal dunia dalam penjara pada tahun 1998.-REUTERS