WASHINGTON, 22 Julai- Kesatuan Eropah (EU) perlu meningkatkan keupayaan pertahanannya ketika Amerika Syarikat (AS) kini memberi tumpuan untuk menangani pengaruh China yang semakin meningkat, kata Pesuruhjaya Pertahanan EU pada Isnin.
Presiden Donald Trump sebelum ini mendesak agar sekutu Eropah memikul lebih banyak tanggungjawab dalam aspek ketenteraan sejak kembali ke White House awal tahun ini.
Pada bulan lalu, negara-negara anggota NATO bersetuju untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan mereka.
"Eropah sedang bersedia untuk mengambil tanggungjawab terhadap pertahanannya sendiri. Anda (Amerika) yang meminta kami untuk melakukannya dan akhirnya kami sedang bergerak ke arah itu," kata Pesuruhjaya Eropah bagi Pertahanan dan Angkasa, Andrius Kubilius dalam satu ucapan di Washington.
“Kami sedar bahawa Amerika mempunyai hak dan sebab yang jelas, dari sudut pandang jangka panjang, untuk mengalihkan lebih banyak perhatian ke arah Indo-Pasifik demi mengimbangi kekuatan ketenteraan China yang kian meningkat
“Kami di Eropah perlu meningkatkan keupayaan pertahanan kami dan itulah yang sedang kami lakukan," tambah bekas Perdana Menteri Lithuania itu.
Selama bertahun-tahun, Amerika Syarikat mengenal pasti China sebagai pesaing ketenteraan utamanya dan telah berusaha untuk mengalihkan fokus serta aset ketenteraan tambahan ke rantau Asia.
Namun, ketegangan yang berterusan di Asia Barat sering memaksa Washington memberi semula tumpuan ke rantau tersebut, menyebabkan sebahagian asetnya dialihkan sekurang-kurangnya buat sementara waktu dari Asia. -AFP