WASHINGTON, 21 Julai – Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Scott Bessent, pada Isnin menggesa Rizab Persekutuan (Fed) menjalankan semakan menyeluruh terhadap operasi bukan dasar monetarinya bagi memastikan "pengembangan mandat" tidak menjejaskan kebebasan teras dalam menjalankan dasar monetari.
Menerusi satu hantaran di platform X, Bessent menyatakan bahawa kebebasan Fed kini 'terancam akibat peluasan mandat yang berterusan ke bidang di luar misi terasnya',
Menurut beliau, ia mencetuskan kritikan dan mengaburkan peranan penting Fed dalam mengawal dasar monetari.
Bessent turut membangkitkan kebimbangan terhadap keputusan Fed untuk melancarkan projek pengubahsuaian besar-besaran bangunannya ketika institusi itu mencatat kerugian operasi lebih AS$100 bilion setahun.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan siapa yang sepatutnya menjalankan semakan ke atas keputusan tersebut.
"Saya percaya Fed perlu melakukan semakan dalaman menyeluruh terhadap operasinya di luar dasar monetari, sebagaimana ia menilai kerangka dasar monetari dari semasa ke semasa," katanya dalam satu temu bual CNBC.
Tambahnya, langkah itu akan mengukuhkan kredibiliti institusi itu dalam mengendalikan tanggungjawab utamanya dan memelihara kestabilan ekonomi negara.- REUTERS