WASHINGTON, 22 Julai – Syarikat farmaseutikal global, AstraZeneca, mengumumkan rancangan untuk melabur sehingga AS$50 bilion (kira-kira RM234 bilion) di Amerika Syarikat menjelang tahun 2030 bagi memperluas keupayaan pembuatan dan penyelidikannya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pelaburan itu termasuk pembinaan fasiliti pembuatan ubat baharu di Virginia serta peluasan operasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengeluaran terapi sel di Maryland, Massachusetts, California, Indiana dan Texas.
Syarikat yang berpangkalan di United Kingdom dan Sweden turut memaklumkan bahawa pelaburan berkenaan akan menaik taraf rangkaian bekalan ujian klinikal di Amerika Syarikat, selain menyokong pelaburan berterusan dalam penghasilan ubat-ubatan inovatif.
Ketua Pegawai Eksekutif AstraZeneca, Pascal Soriot, mengumumkan rancangan berkenaan di Washington sebagai sebahagian daripada langkah strategik syarikat untuk mencapai sasaran pendapatan tahunan sebanyak AS$80 bilion menjelang 2030, dengan separuh daripadanya disasarkan datang dari pasaran Amerika Syarikat.
Amerika Syarikat menyumbang lebih 40 peratus kepada jumlah pendapatan tahunan AstraZeneca pada 2024, dan pasaran bernilai AS$635 bilion itu kekal menjadi tumpuan utama syarikat sejak sebelum kembalinya Donald Trump ke White House.
Langkah terbaharu AstraZeneca ini dilihat sebagai respons kepada dasar tarif Presiden Trump yang memberi tekanan kepada syarikat farmaseutikal agar meningkatkan pengeluaran domestik, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan aktif atau ubat siap.
Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick dalam kenyataan yang dikeluarkan AstraZeneca memaklumkan, siasatan terhadap import farmaseutikal sedang dijalankan oleh pihaknya bagi membuka jalan kepada pengenaan tarif baharu.
"Selama beberapa dekad, rakyat Amerika bergantung kepada bekalan ubat utama dari luar negara. Presiden Trump dan dasar tarif baharu negara kita bertujuan menamatkan kelemahan struktur ini," katanya.
Walaupun Trump telah beberapa kali mengancam untuk mengenakan tarif terhadap industri farmaseutikal, beliau memberi bayangan awal bulan ini bahawa syarikat-syarikat diberi tempoh antara satu tahun hingga 18 bulan untuk mengambil tindakan sebelum tarif dikuatkuasakan.
AstraZeneca menjelaskan bahawa pemilihan masa dan lokasi pengumuman pelaburan ini dibuat berdasarkan dasar semasa kerajaan AS, walaupun sebahagian perbelanjaan tersebut telah dirancang lebih awal untuk menyediakan infrastruktur bagi pembangunan ubat-ubatan masa depan.
Komitmen itu adalah tambahan kepada pelaburan sebanyak AS$3.5 bilion yang telah diumumkan oleh syarikat tersebut pada November 2024.- REUTERS