MANILA, 22 Julai – Hujan lebat berterusan menyebabkan banjir besar yang melumpuhkan sebahagian besar ibu negara Filipina yang memaksa puluhan ribu penduduk dipindahkan dan sekurang-kurangnya dua individu dilaporkan hilang.
Sekolah dan pejabat kerajaan di Manila serta wilayah sekitarnya ditutup selepas hujan sepanjang malam menyebabkan Sungai Marikina melimpah ke kawasan perumahan berhampiran.
Lebih 23,000 penduduk yang menetap berhampiran sungai itu telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara seperti sekolah, balai raya dan dewan terbuka.
Di bandar Quezon dan Caloocan pula, lebih 25,000 lagi penduduk turut dipindahkan berikutan paras air yang meningkat secara mendadak.
"Biasanya mereka ini tinggal di kawasan rendah berhampiran anak sungai yang mengalir ke Sungai Marikina," kata pegawai Pejabat Penyelamat Marikina, Wilmer Tan.
Menurut Wilmer paras sungai itu mencecah 18 meter (59 kaki).
Sementara itu Penolong Penyelia Pusat Operasi Kecemasan, John Paul Nietes memaklumkan di Caloocan, seorang wanita warga emas dan pemandunya dilaporkan dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi jambatan yang ditenggelami air.
"Kenderaan mereka berjaya ditemukan malam tadi. Operasi menyelamat masih diteruskan, tetapi sehingga kini kedua-dua mereka belum ditemui.
"Cermin tingkap kereta pecah, jadi kami berharap mereka sempat menyelamatkan diri," tambahnya.
Walaupun paras air dilaporkan mula surut pada pagi Selasa, ribuan penduduk terjejas masih belum dapat pulang ke rumah masing-masing kerana keadaan masih berbahaya.
Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) memaklumkan, hujan monsun berterusan sejak Taufan Tropika Wipha melintasi perairan negara itu pada Jumaat lalu telah meragut sekurang-kurangnya tiga nyawa dan menyebabkan tujuh individu lagi hilang di kawasan tengah dan selatan Filipina.
Filipina dilanda sekitar 20 taufan atau ribut tropika setiap tahun.
Saintis turut memberi amaran bahawa ribut lebih kuat dan lebih berbahaya juga akan lebih kerap berlaku akibat perubahan iklim global.
"Keadaan ini sangat sukar. Jika hujan masih berterusan… sungai akan kembali melimpah. Keadaan ini sangat berbahaya,” kata Avelina Lumangtad, 61, ketika ditemui berhampiran kawasan yang dinaiki air. - AFP