fb fb fb fb fb

Washington digesa kembalikan semula aset Afghanistan bernilai AS$7bilion - Pakar

(FOTO FAIL AFP)

WASHINGTON, 13 Ogos - Pakar ekonomi terkemuka Amerika Syarikat (AS) dan antarabangsa menggesa Washington memulangkan semula aset Afghanistan bernilai AS$7bilion yang disimpan dalam Bank Rizab Persekutuan sejak Taliban mengambil alih kerajaan.

“Kami amat prihatin dengan bencana ekonomi dan kemanusiaan di Afghanistan yang sebahagiannya berpunca daripada dasar AS.

“Tanpa akses kepada rizab asing, Bank Pusat Afghanistan tidak menjalankan fungsi pentingnya, sekali gus akan meruntuhkan ekonomi Afghanistan,” kata 71 pakar ekonomi dan pembangunan dalam sepucuk surat kepada Presiden, Joe Biden serta Setiausaha Perbendaharaan, Janet Yellen.

(FOTO FAIL AFP)

Surat itu juga menegaskan, pakar ekonomi berhujah bahawa kemerosotan ekonomi dan pengurangan mendadak bantuan asing kepada Afghanistan selepas pengunduran tentera AS di negara itu telah menyebabkan situasi bertambah meruncing.

“Sebanyak 70 peratus isu rumah Afghanistan tidak mampu untuk memenuhi keperluan asas mereka.

“Sekitar 22.8 juta orang iaitu lebih separuh daripada populasi Afghanistan pula menghadapi krisis makanan yang serius. Sementara itu, seramai tiga juta kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan kronik,” kata mereka.-AFP

Media Baharu