fb fb fb fb fb

Washington biayai pembelian Pegasus oleh Colombia

Amerika Syarikat (AS) telah membiayai pembelian perisian pengintip Israel, Pegasus, oleh pasukan keselamatan Colombia pada tahun 2020 / Foto Hiasan

WASHINGTON, 9 November – Amerika Syarikat (AS) telah membiayai pembelian perisian pengintip Israel, Pegasus, oleh pasukan keselamatan Colombia pada tahun 2020 tanpa memberitahu Presiden Colombia ketika itu, Ivan Duque, menurut seorang pegawai kanan AS.

Pegawai yang bercakap dengan syarat tidak dikenali itu mengesahkan laporan dari akhbar harian Colombia, El Tiempo, yang menyatakan bahawa perisian tersebut digunakan untuk menyiasat penyeludup dadah.

Walau bagaimanapun, pegawai tersebut menafikan bahawa perisian tersebut, yang boleh mengakses mesej, panggilan, dan fail pada telefon secara jarak jauh, serta mengaktifkan mikrofon dan kamera telefon digunakan untuk tujuan lain.

Beliau juga menambah bahawa Washington tidak mempunyai sebarang maklumat yang menunjukkan bahawa perisian tersebut digunakan untuk memantau ahli politik.

AS dikatakan telah melaksanakan "protokol ketat" bagi penggunaan perisian itu selepas ia dibeli pada harga AS$11 juta dari pengeluar Israel, NSO Group.

Pada September, Presiden Colombia, Gustavo Petro mengecam pembelian perisian itu sebagai haram dan memberi amaran bahawa ia boleh digunakan untuk "memintas komunikasi" oleh pemimpin politik dan aktivis semasa pentadbiran Duque.

Pada tahun 2021, media antarabangsa melaporkan bahawa perisian Pegasus digunakan untuk memantau ratusan ahli politik, wartawan, aktivis, dan pemimpin perniagaan.

Selepas laporan mengenai penggunaan Pegasus tersebar, AS menghentikan program tersebut sebelum Gustavo Petro mengambil alih kuasa pada tahun 2022, tanpa memaklumkan kepada beliau mengenai pemerolehan itu, menurut sumber AS tersebut.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN