fb fb fb fb fb

Wartawan foto antiapartheid, Peter Magubane meninggal dunia

Wartawan foto terkenal Afrika Selatan, Peter Mugabane/FOTO REUTERS

JOHANNESRBURG, 2 Januari- Wartawan foto terkenal Afrika Selatan, Peter Mugabane yang merakam keganasan era apartheid berdekad lamanya termasuk Kebangkitan Pelajar Soweto pada 1976 meninggal dunia dalam usia 91 tahun pada Isnin, umum ahli keluarganya.

Magubane turut menjadi jurufoto rasmi kepada bekas Presiden pertama Afrika Selatan, Nelson Mandela ketika bekas pemimpin antiapartheid itu dibebaskan dari penjara pada 1990.

Salah satu imej ikonik yang dirakamnya pada 1956 memaparkan seorang gadis kulit putih duduk di bangku yang tertera "Europeans Only" sementara pembantunya, wanita berkulit hitam duduk di belakang menggunakan bangku lain.

"Dia seorang yang sangat tekun dengan kerjayanya. Semuanya akan berhenti bila tiba masa untuk kerja", kata anak perempuannya, Fikile kepada SABC Televisyen.

Butiran sebab kematian tidak diberitahu, namun Pertubuhan Wartawan SACEF memberitahu, Mugabane meninggal dunia dalam keadaan tenang disamping ahli keluarga.

Pada awal pembabitannya, Mugabane bekerja di makmal foto bagi sebuah majalah budaya "Drum" sebelum beralih kepada kamera di mana dia memfokuskan bagi mendokumentasikan kekejaman apartheid dan detik-detik penting dalam memperjuangkan hak kesaksamaan.

Pada 1969, Mugabane ditahan ketika sedang membuat liputan berkaitan protes di hadapan sebuah penjara di mana Winnie Mandela dan beberapa aktivis dipenjarakan.

Dia kemudiannya dipenjarakan dan menghabiskan masa selama 586 hari berseorangan dalam tahanan.

Selepas dibebaskan, Mugabane diarahkan untuk menghentikan aktiviti fotografi selama lima tahun.

Nasib malang terus menimpa Mugabane apabila dia sekali lagi ditangkap pada 1971 dan ditahan selama beberapa bulan.

Ketika Peristiwa Kebangkitan Pelajar Soweto pada 1976, Mugabane berjaya merakam beberapa imej menarik berkaitan pemberontakan pelajar yang mendapat kemasyhuran meluas dunia.

"Afrika Selatan kehilangan pejuang kebebasan, pencerita dan jurufoto terbaik.

"Peter Magubane tanpa gentar mendokumentasikan ketidakadilan apartheid," tulis Menteri Kebudayaan Zizi Kodwa di media sosial.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD