AMERIKA SYARIKAT, 10 Jun- Warga asing di Los Angeles hari ini terus berhimpun, menyuarakan kekesalan terhadap layanan tidak adil kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Mereka menegaskan, bandar raya serta AS terbina hasil sumbangan tenaga kerja dan cukai mereka.
Perhimpunan membantah serbuan imigresen di pusat bandar Los Angeles itu telah memasuki hari keempat berturut-turut.
Keadaan itu menyaksikan pertembungan yang semakin memuncak antara penunjuk perasaan, pegawai polis, dan pasukan Pengawal Kebangsaan yang dihantar oleh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.
Pertembungan itu tercetus susulan serbuan oleh Jabatan Imigresen dan Kastam yang bermula Jumaat lalu di seluruh Los Angeles.
Serbuan yang mencetuskan bantahan besar-besaran sepanjang hujung minggu tersebut turut menyaksikan lebih 100 tangkapan.
Salah seorang penunjuk perasaan yang juga penuntut universiti, Guadalupe, mengkritik tindak balas keras terhadap protes yang menurutnya bertentangan dengan hak mereka untuk bersuara.
"Beberapa hari pertama, kami dapat memprotes dan bercakap secara bebas. Ini adalah negara yang kami, sepatutnya boleh bercakap dengan bebas dan seperti yang anda lihat sekarang, kami tidak boleh bercakap dengan bebas.
"Jadi kami semua di sini hari ini, kami mendapatkan semua warga asing, semua keluarga, jika anda boleh datang menyokong, keluar ke sini," katanya kepada pemberita di sini.
Guadalupe juga mengecam tindakan kerajaan yang mendakwa warga asing tidak membayar cukai, sambil menegaskan kedudukan mereka yang sah di AS.
"Ibu bapa saya selalu bayar cukai. Dulu mereka (kerajaan) kata kami tak bayar cukai, bagaimana sekarang? Adakah mereka menggunakan Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (IRS) untuk mengesan kami?.
"Tetapi mereka datang ke rumah kami, mereka datang ke bangunan, datang ke tempat pembinaan mereka. Apa orang itu tidak penat? Tidak perlu berurusan lagi dengannya," katanya lagi.
Terdahulu, Trump berikrar untuk mengusir jumlah rekod pendatang tanpa izin dan memperketatkan kawalan sempadan AS-Mexico, dengan matlamat White House meletakkan sasaran untuk Jabatan Imigresen dan Kastam menahan sekurang-kurangnya 3,000 migran setiap hari.
Namun, tindakan keras itu turut melibatkan individu yang tinggal secara sah di negara tersebut, termasuk pemegang taraf penduduk tetap, sekali gus mencetuskan cabaran daripada segi perundangan.- REUTERS