JEPUN, 21 Mei- Penunjuk perasaan dari Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan FIlipina antara yang menyertai demonstrasi dianjurkan penduduk tempatan bagi menentang Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) yang sedang berlangsung di Hiroshima.
Mereka mendakwa, negara-negara yang mengambil bahagian dalam sidang kemuncak tersebut mengancam kestabilan serantau dan global.
Penunjuk perasaan juga menentang penubuhan 'NATO versi Asia', pakatan ketenteraan antara AS, Jepun dan Korea Selatan, dengan ada yang menuntut pengunduran tentera AS dari Asia.
Wakil penunjuk perasaan dari setiap negara terlibat bergilir-gilir menyampaikan ucapan, mengkritik G7 kerana campur tangan dalam hal ehwal Asia dan menjadi alat strategi ketenteraan global AS untuk mengancam kestabilan serantau.
(Sebahagian penunjuk perasaan yang menyertai perhimpunan
membantah Sidang Kemuncak G7 / Foto REUTERS)
"AS telah menyalakan api untuk mencipta peperangan. Ia telah mengetuai tindakan seperti ini. Ia kini cuba mengikat Jepun dan Korea Selatan untuk mencipta NATO versi Asia.
Saya sangat menentang langkah berbahaya ini," kata seorang penunjuk perasaan Jepun.
"Kami mengembara ke sini dari Korea Selatan untuk mengambil bahagian dalam demonstrasi menentang Sidang Kemuncak G7.
Esok (hari ini), pemimpin AS, Jepun dan Korea Selatan akan mengadakan perbincangan, yang kami percaya boleh berisiko mencetuskan perang di Semenanjung Korea. Pakatan ketenteraan antara AS, Jepun dan Korea Selatan adalah berbahaya," kata seorang penunjuk perasaan Korea Selatan.
"G7 membawa kurang demokrasi. Ia membawa lebih banyak pengawasan, malah kepada warga AS," kata seorang penunjuk perasaan AS.
Selepas menyampaikan ucapan, penunjuk perasaan mula berarak di luar Senda Park, mengibarkan bendera di sepanjang jalan dan melaungkan slogan menentang NATO versi Asia dan Sidang Kemuncak G7.-REUTERS